Blog Teknologi Pertanian

24 Jul, 2009

Pembajaan Pokok Betik

Posted by: admin In: Betik| Pembajaan| pertanian

Dalam pengurusan yang baik, pokok betik yang membesar dengan pantas dan berterusan mempunyai potensi pengeluaran buah sepanjang bulan di sepanjang tahun. Dengan itu, bekalan nutrien yang banyak pada tempoh yang tetap untuk pertumbuhan yang baik dan pengeluaran buah yang berkualiti amat kritikal. Pengapuran tanah sebelum menanam ialah amalan yang baik, kerana pH tanah 6-6.5 dianggap optimum untuk pertumbuhan dan prestasi hasil bagi pokok betik. Bagi kebanyakan tanah di kawasan tropika, 3-4 t/ha kapur diperlukan. Pokok betik yang mendapat cukup baja kapur, berbuah lebih awal dengan hasil yang tinggi dan dapat dipasarkan.
Semasa peringkat awal pertumbuhan, bekalan nitrogen dan fosforus yang cukup perlu dibekalkan bagi memastikan pertumbuhan tampang yang baik. Pada peringkat pembuahan, aras kalium perlu ditambah bagi meningkatkan kualiti buah (supaya warna isi lebih menarik, lebih manis dan lebih pejal). Pada masa yang sama, aras fosforus pula perlu dikurangkan bagi mengekalkan saiz buah yang besar. Bagi nitrogen, arasnya tidak berubah di sepanjang peringkat tampang dan pembuahan. Namun, baja bernitrogen yang berlebihan terutamanya baja organik perlu dielakkan kerana ini akan menggalakkan balikan seks daripada bunga hermafrodit kepada bunga betina yang menghasilkan buah yang tidak menentu bentuknya.
Faktor kepelbagaian jenis tanah, keadaan cuaca dan amalan pengurusan, membuatkannya perlu untuk membentuk pengesyoran bagi sesuatu kawasan yang khusus berasaskan analisis tanah dan foliar. Di Malaysia sebanyak 50-100 g/pokok rumusan 15:15:15 diberikan setiap bulan sehingga anak pokok berumur 4 bulan. Selepas itu, rumusan 12:12:17:2 diberikan sebanyak 180 g/pokok setiap bulan. Sebagai tambahan kepada baja bukan organik yang disyorkan, tahi ayam, efluen kilang kelapa sawit atau baja organik yang lain ditambah dalam tempoh yang tetap. Pemberian baja organik ini perlu dihadkan kepada 2 kg/pokok dalam tempoh 4 bulan kerana pemberian baja organik yang tinggi mengaruh pertumbuhan tampang secara berlebihan dan mengurangkan hasil dan kualiti buah.

No Responses to "Pembajaan Pokok Betik"

Comment Form

About

Blog ini mendedahkan segala informasi tentang teknologi pertanian, hasil pertanian, bidang pertanian, ekonomi pertanian, jurnal pertanian, pertanian organik, pembangunan pertanian, sistem pertanian, produk pertanian, tumbuhan herba dan artikel pertanian.

Infotani Percuma !! KLIK SINI !!