Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju.
Pertanian di Malaysia kini menjadi satu bidang yang menjanjikan pendapatan yang lumayan sekiranya diusahakan secara serius. Walau bagaimanapun, seseorang usahawan mesti tanamkan semangat yang jitu dalam diri jika ingin menjadikan pertanian satu perniagaan yang lumayan. Ianya bukan mudah jika tidak tahu selok belok bidang pertanian yang sebenar.
Dalam menjana pertumbuhan baru di bidang pertanian, kita juga perlu mewujudkan persekitaran yang sihat. Faktor ini merupakan perkara asas bagi pembangunan sesebuah negara untuk terus maju dalam meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian dalam memenuhi keperluan rakyatnya. Persekitaran pembangunan yang sihat melalui pengurusan sumber alam yang efisyen, terjaga, berterusan dan di lengkapi pula dengan sumber manusia yang terlatih adalah asas kepada pembangunan pertanian yang produktif dan ini sudah tentu menjadi pemangkin dalam menjana pertumbuhan pelbagai industri lain yang diperlukan oleh negara.
Dalam dunia yang serba bersaing, kepentingan membangunkan modal insan telah menjadi kemestian. Baik di bidang apa pun yang kita terokai, daya pemikiran, kreativiti dan inovasi rakyat sesebuah negara itulah menjadi penentu untuk kejayaan. Dari pemikiran dan idea maka lahirlah penemuan yang boleh merubah sesuatu keadaan kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna. Di bidang pertanian, inovasi yang menambahbaik sesuatu teknologi akan membawa perubahan kepada peningkatan produktiviti dan kualiti hidup tanpa mencemar alam semula jadi. Faktor Ini menjadi penentu kepada kelangsungan sesebuah ekonomi dan dapat meletakkannya ke tahap yang stabil dan selamat dalam jangka panjang. Bagi negara yang mementingkan pembangunan pertanian mampan dan kualiti kehidupan yang harmoni akan sentiasa memupuk rakyatnya untuk meningkatkan tahap penguasaan dan penghayatan ilmu demi kebaikan manusia sejagat.