Terdapat pelbagai teknik pembiakan bagi pengeluaran bahan tanaman buah-buahan yang boleh digunakan. Antaranya adalah seperti sandingan, cantuman matatunas, cantuman sisi, sulur, akar dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, disebabkan alasan-alasan yang tertentu, bukan semua teknik sesuai bagi pengeluaran benih buah-buahan. Hanya teknik-teknik yang selalu dipraktikkan sahaja sesuai bagai pembiakan benih. Antara yang popular ialah melalui Kaedah Tut.
Teknik ini telah lama dipraktikkan akan tetapi banyak mempunyai kelemahannya seperti merosakkan pokok asalnya. Selain itu, pengeluarannya adalah terhad dan pertumbuhan anak pokok itu tidak menentu. Teknik ini biasanya dilakukan pada tanaman ciku, jambu batu dan limau.
Sungguhpun pembiakan secara ini menghasilkan anak pokok buah-buahan yang berbunga atau berbuah lebih cepat, tetapi pengeluarannya yang terhad itu tidak praktik untuk mengeluarkan anak pokok secara besar-besaran.

Selain pembiakan menggunakan biji benih, pembiakan tampang banyak digunakan dalam penghasilan anak pokok. Pada kebiasaanya pokok buah-buahan dibiakkan secara cantuman. Antara cantuman yang biasa digunakan ialah cantuman mata tunas dan cantuman baji . Kaedah ini digunakan adalah bagi mempercepatkan masa produktif pokok untuk menghasilkan buah. Selain itu, ia dapat menghasilkan klon yang mempunyai maklumat genetik yang sama seperti pokok induk.
Alat mencantum anak pokok buah-buahan yang biasa digunakan ialah pisau mencantum yang tajam dan bersih, gunting, plastik cantum dan yang paling penting kayu matatunas yang subur dan sesuai.
Selepas anak pokok cantuman menjadi dipindahkan ke rumah lindungan, ianya dibaja sekali dengan ’pellets’ najis ayam @ 5gm sepokok. Di samping itu, baja sebatian juga dibekal dengan kadar 5gm sepokok selama 3 kali pembajaan.
Antara perkara-penting bagi kejayaan pokok cantuman adalah seperti berikut;
Penyediaan Kayu Matatunas – Pengurusan yang baik dipetak-petak pembiakan dan kawasan kayu matatunas mebolehkan kayu matatunas senang diperolehi apabila pokok-pokok penanti sesuai dicantum.
Pada kebiasaannya kadar menjadi menurun apabila umur pokok penanti meningkat. Cantumkan segera apabila pokok penanti mencapai peringkat tersebut.
Memindah Pokok Cantuman Dari Petak Pembiakan Ke Petak Rumah Lindungan/Membekal Pokok Cantuman – Pada aktiviti ini kerap terdapat pekerja-pekerja memegang batang pokok apabila mengangkat polybeg. Ini hendaklah dielakkan kerana pokok-pokok belum lagi kukuh dan boleh mencederakan/mengganggu akarnya.