Segala informasi tentang teknologi pertanian
Posts tagged pemasaran
Pengendalian pasca tuai
May 15th

Pengendalian pasca tuai bermaksud pergerakan hasil tuaian daripada peringkat penuaian hingga ke peringkat pengguna. Pengendalian ini melibatkan operasi penuaian, pengendalian di ladang, penggredan, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan, pemprosesan primer, dan pengagihan. Pengawalan mutu hasil hendaklah diberi perhatian pada setiap peringkat pengendalian.

Pengendalian pasca tuai di tempat mengumpul dan memproses biasanya melibatkan perkara berikut:
a. Pemilihan
Sayuran yang lebam, layu, busuk dan sebagainya perlu diasingkan daripada sayuran yang baik atau perlu dipotong bahagian yang rosak.
b. Pembasuhan
Sayur jenis daun terutama yang dituai bersama-sama akar atau rizom perlu dibersihkan dengan air bersih untuk mengeluarkan kotoran atau sisa kimia yang terlekat pada sayur.
c. Pengeringan
Sayuran yang dibasuh perlu ditoskan atau dikeringkan untuk mengurangkan kelembapan di luar sayuran yang boleh menyebabkan jangkitan kulat. Elakkan pengeringan berlebihan boleh menyebabkan sayuran layu atau menjadi kecut.
d. Menggredkan hasil
Sayuran digred mengikut varieti, tahap kematangan, tahap kecederaan mekanikal, warna, tahap serangan perosak serta penyakit, saiz, rupa keseluruhan dan umur mengikut jenis sayuran. Sayuran yang telah digredkan lebih seragam, mudah dipasarkan dan mendapat harga pasaran yang lebih baik.
e. Sistem pembungkusan
Tujuan pembungkusan sayuran adalah untuk melindunginya daripada kerosakan semasa pengendalian, pengangkutan dan sebagai daya tarikan kepada pengguna. Bahan pembungkus dipilih berdasarkan jenis sayuran, kekuatan mekanikal, muatan, pengudaraan, jarak pengangkutan dan jenis pasaran. Pembungkusan pukal perlu menggunakan bekas atau kotak yang sesuai seperti diperbuat daripada plastik, kertas, kayu, buluh atau rotan.
f. Penyahhijauan
Bertujuan untuk mendapatkan warna yang menarik dan seragam untuk hasil sayuran yang telah dituai pada peringkat kematangan fisiologi, tetapi masih berwarna hijau seperti cili. Gas asetilena daripada kalsium karbida akan menyebabkan pigmen klorofil termusnah dan menimbulkan pigmen karotena yang berwarna merah atau oren.
g. Rawatan air panas
Cili direndam pada suhu 50°C selama tiga hingga lima minit untuk mengawal penyakit antraknos.
h. Penyimpanan dalam bilik sejuk mengikut suhu yang sesuai
Penyimpanan bersistem membolehkan mutu sayuran dikekalkan untuk jangka masa panjang sebelum digunakan. Penyimpanan bersistem juga membolehkan perancangan yang teratur untuk memudahkan pemasaran terutama apabila hasil berkurangan atau berlebihan pada sesuatu masa. Bagi tempoh simpanan yang lama, hasil perlu disimpan di dalam bilik sejuk yang mempunyai sistem pengawalan suhu dan kelembapan relatif yang baik.
Pemasaran Hasil Pertanian
Jun 4th
Sistem pemasaran merupakan satu aktiviti yang kompleks kerana melibatkan pelbagai lingkungan pemasaran di mana berlakunya pelbagai interaksi di kalangan pengeluar, pemborong dan peruncit. Pemasaran hasil pertanian yang berterusan juga bergantung kepada beberapa perkara bagi menjamin hasil yang dikeluarkan tidak menjadi lambakan dan terus sampai kepada konsumer. Perkara-perkara tersebut adalah seperti jumlah pengeluaran, kemudahan logistik, citarasa pengguna, penyimpanan, penggreddan, kaedah saluran pemasaran dan sebagainya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini isu mengenai lambakan buah-buahan semakin kedengaran terutamanya di kalangan pengeluar buah-buahan tempatan. Buah-buahan yang sering menjadi isu lambakan adalah seperti durian, rambutan, cempedak, rambutan, langsat, duku dan dokong.
Lambakan Mangga sala di Perlis misalnya pernah menjadi satu isu hangat yang diperkatakan suatu ketika dahulu. Kini, durian dan dokong dijangka mengalami lambakan di Kelantan dan Terengganu pada bulan Julai dan Ogos. Ini adalah kerana kebanyakkan buah-buahan ini kurang menjadi pada tahun lalu disebabkan beberapa faktor seperti kerosakan tanaman dan cuaca.
Jadi, pada tahun ini tanaman buah-buahan berkenaan dilihat mengalami pertumbuhan yang baik dan dijangka berlaku peningkatan hasil yang tinggi akan mendorong berlakunya lambakan yang agak banyak. Lambakan yang berterusan akan menjejaskan pendapatan petani yang umumnya bergantung harap dari sumber hasil pertanian ini.
Pemasaran pertanian adalah sesuatu aktiviti yang mencabar kerana ia melibatkan barangan segar yang mudah rosak. Oleh itu, kekuatan sistem pemasaran penting bagi menjamin pembekalan yang berterusan seterusnya mengatasi isu lambakan.
Asas-asas berlakunya isu lambakan
Petani tidak bersikap proaktif
Kebanyakkan petani tidak membuat perancangan yang rapi dan sistematik sebelum mengeluarkan produk masing-masing bagi mengelakkan masalah pemasaran dan lambakan buah. Kebanyakkannya lebih berusaha untuk bercucuk tanam sahaja tanpa memikirkan masalah pemasaran. Usaha pemasaran hanya difikirkan apabila hasil pertanian sudah hendak dituai. Petani tidak terlebih dahulu membuat perancangan mengenai potensi pasaran bagi produk yang akan dikeluarkan. Walaupun pihak kerajaan sentiasa membantu pengeluar tetapi jika usaha sebelah pihak sahaja, maka masalah tersebut tidak dapat diselesaikan. Risiko boleh dikurangkan dengan adanya maklumat tentang harga dan kuantiti yang ditawarkan di pasaran.
