Blog Teknologi Pertanian
Segala informasi tentang teknologi pertanian
Segala informasi tentang teknologi pertanian
May 12th

Merupakan tanaman jangka panjang. Berasal dari tropika Amerika Selatan. Buah jambu mengandungi kandungan vitaman C 3 kali ganda lebih tinggi daripada buah oren, dua kali ganda lebih tinggi daripada buah betik dan sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada buah pisang. Kebanyakan vitamin C didapati di bahagian kulit dan mesokarpa buah. Secara amnya jenis buah yang berisi merah mengandungi vitamin C yang lebih tinggi berbanding buah yang berisi putih. Buah jambu batu mengandungi bebeapa jenis gula seperti fructose, D-gulose dan sucrose dimana kandungannya masing-masing adalah 3.4%, 2.8%, 0.3%. Kandungan gula didapati bertambah semakin buah membesar, dan akan diganti dengan sucrose apabila buah masak.
Secara amnya, pokok jambu batu memerlukan tekanan kekurangan air yang singkat untuk merangsangkan berbunga.
Di Malaysia terdapat dua musim kering iaitu pada bulan Januari-Mac dan bulan Jun-Julai. Musim kering ini akan mempengaruhi penghasilan buah jambu batu. Pada musim kemarau, pengairan adalah mustahak untuk menjamin tumbesaran dan penghasilan yang baik.
Keterangan lanjut: http://pertanianmjg.perak.gov.my/bm/panduan_tanamjambu.htm
Apr 23rd
Tanaman betik sesuai kepada tanah yang mempunyai struktur dan saliran yang baik tetapi sentiasa berkeadaan lembab. Tanah yang terendam air tidak sesuai bagi tanaman betik. Pohon betik akan hidup subur di kawasan lapang tetapi tidak terdedah kepada angin yang kencang. Cahaya matahari yang cukup dan taburan hujan yang serata adalah mustahak bagi tanaman betik.
Penyediaan Benih:Sebanyak 1,700 pokok anak benih adalah diperlukan bagi tanaman setiap hektar tanah dan ditambah 10% atau 200 pokok lagi untuk sulaman jika ada yang tidak hidup selepas ditanam. Biji benih elok disemai ke dalam polibeg, yang berukuran 15 cm x 22 cm. Isikan polibeg dengan campuran 2 bahagian tanah lapisan atas, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian bahan organik (tahi ayam atau tahi lembu). Sebelum biji benih disemaikan, adalah baik dirawat terlebih dahulu dengan racun thiram untuk mengelakkan terkena serangan kulat.
Tanamkan biji benih sedalam 2 cm ke dalam tanah. Jangan tanam terlampau dalam kerana ditakuti benih tidak akan bercambah disebabkan terlampau cetek biji benih yang disemai akan berubah-ubah tempat semasa menyiram dan kecambahannya akan terganggu. Biji benih akan bercambah dalam masa satu minggu. Sedang anak benih beransur membesar, taburkan racun siput di merata kawasan, untuk mengelakkan daripada serangan siput. Selain anak benih berumur 6-8 minggu ataupun telah berdaun 8-12 helai, anak semaian boleh diubah ke ladang.
Menanam:Kawasan yang akan ditanam hendaklah dibersihkan dan dibajak. Gali lubang sedalam 30 cm dan 30 cm lebar. Jarak tanaman 1.8 m x 2.7 m, boleh ditanam sebanyak 1,700 pokok sehektar. Semasa menanam gaulkan tanah di permukaan atas dengan baja phosphate sebanyak 200 g -250 g. Pilihlah musim hujan yang sederhana apabila hendak menanam, kalau masa hujan yang banyak boleh menjadi keadaan terlalu lembab, dan akar betik yang belum berfungsi itu menjadi busuk.
Maklumat lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/bm/panduan_tanambetik.htm
Apr 22nd

Tembikai mengandungi lebih dari 90% air, vitamin C, kalsium, fosforus, natrium, kalium dan unsur-unsur zat makanan yang lain. Berikut adalah keperluan asas untuk tanaman tembikai:-
Memerlukan cuaca panas untuk pertumbuhan dan penghasil yang baik. Suhu antara 25-35oC pada siang hari dan 18-22oC pada sebelum malam adalah amat sesuai. Suhu yang tinggi boleh memendekkan jangka masa matang. Tembikai tidak sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi yang suhunya kurang dari 22oC.
Tembikai boleh ditanam dikebanyakan jenis tanah yang mempunyai keasidan yang sederhana iaitu pH 4.5-7.0, bagi tanah yang mempunyai pH yang rendah pengapuran diperlukan. Tanaman ini didapati lebih sesuai apabila ditanam di tanah jenis gembur berpasir dan tidak menakung air. Tanah yang tinggi kandungan liat dan menakung air didapati tidak sesuai. Manakala kawasan yang paling sesuai ialah kawasan yang rata.
Tanah yang sebelumnya telah ditanami tembikai atau lain-lain tanaman daripada keluarga cucurbitaceae (labu, petola, peria, timun) tidak digalakkan ditanami lagi dengan tanaman tembikai untuk tempoh 3 tahun. Ini adalah untuk mengelakkan penyakit yang berjangkit dari tanah.
Varieti yang popular pada masa ini ialah yang diimport dari Taiwan iaitu New Dragon, Super Dragon dan Flower Dragon. Kultivar tanpa biji yang ditanam di Malaysia terdiri daripada jenis kacukan hibrid F1 dari Taiwan dan Jepun yang mempunyai ciri-ciri baik seperti jangka masa matang yang singkat, hasil yang tinggi dan mutu buah yang baik. Jenis baka tulen biasanya lambat matang, hasilnya rendah dan mutu buah kurang baik.
Pokok tembikai ditanam dari biji. Terdapat 2 cara penanam tembikai iaitu sistem tanam terus dan sistem mengubah dimana biji benih atau disemai dahulu dalam beg plastik yang dipanggil kerek.
Maklumat lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/bm/panduan_tembikai.htm
Apr 20th
Penghasilan longan sangat bergantung kepada keadaan cuaca terutama semasa pembungaan dan pembentukan buah. Hujan yang berlebihan boleh menyebabkan bunga gugur, serta menghalang pendebungaan dan pembentukan putik. Curahan hujan tahunan yang paling baik ialah diantara 1200-1400 mm. Tanaman longan sangat peka kepada angin kencang.
Keadaan tanah yang mempunyai profil yang dalam (melebihi 100 pH 5.5 – 6.0 dalam kemasinan yang rendah adalah sesuai untuk tanaman longan. Tanah lanar sungai yang bertekstur halus dan dapat memegang air seperti Siri Tok Yong, Cempaka, Lundang, Kerayong, Tebok, Tawar, Gong Chenak dan Lubok Kiat adalah sangat sesuai untuk tanaman longan.
Tanah sawah yang kurang salir didapati boleh ditanam dengan tanaman longan sekiranya air dapat disalir dan aras air tanah dapat dikawal pada tahap 75 cm dari permukaan tanah sepanjang masa seperti Siri Tepus, Jabil, Lating, Cherang Hangus dan Kg. Pusu.
Penaman di ladang
Jarak penanaman yang disyorkan adalah 14 m antara baris x 10 m antara pokok dengan kepadatan 166 pokok/ha. Jarak ini boleh didapati selepas menebang 50% pada tahun ke 9 penanaman. Lubang tanaman disediakan sebulan sebelum menanam, bersaiz 60 cm x 60 cm x 60 cm. GML sebanyak 0.5 kg/lubang ditaburkan jika kawasan tersebut mempunyai pH tanah kurang daripada 4.5. Lubang ini dimasukkan dengan 10 kg. bahan organan. Baja TSP sebanyak 250 gm ditaburkan di dalam lubang dan digaul serta dibiarkan selama 1 minggu sebelum menanam.
Longan mengambil masa 5-7 bulan (bergantung kepada kultivar) daripada peringkat berbunga sehingga matang. Kulit buah longan matang lebih licin dan berwarna perang kekuningan berbanding dengan buah longan muda. Bagi longan kultivar Edaw, pungutan hasil dibuat lebih awal sedikit kerana jika terlalu lama, biji mungkin bercambah walaupun buah masih di pokok.
Pungutan Hasil
Kutipan hasil dibuat dengan memotong tangkai buah termasuk sedikit bahagian daun dengan berhati-hati dan disimpan di dalam bakul. Buah yang dikutip ini dibawa dengan segera ke pusat pengumpulan hasil dan elakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari.
Maklumat lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/bm/panduan_longan.htm
Apr 8th
Apabila disebut kerepek ubi, kita dengan sendirinya membayangkan kepingan nipis ubi kayu berbentuk bujur dan bersaiz gelang getah yang rangup dimakan. Kerepek ubi dengan pelbagai perasa masin, manis dan pedas itu biasanya mengambil bentuk ubi kayu yang dihiris nipis sebelum digoreng atau dikeringkan.
Kepingan nipis atau kerepek ubi kayu itu sudah begitu dikenali di pasaran sehingga begitu mudah didapati dan dibeli di mana-mana pusat beli-belah. Kaedah pembungkusannya juga begitu menarik dan setanding dengan snek ubi keluaran luar negara.
Bagaimanapun, snek ubi kayu bersalut gula merah keluaran Tawau agak berlainan dan unik berbanding snek ubi kayu biasa kerana selain berbeza dari segi rasa, ia juga berbeza dari segi cara pembuatan, malah saiznya.
Kerepek ubi kayu Tawau ini dibuat daripada ubi kayu yang diparut. Ia berbentuk segi empat bersaiz 20cm X 25cm (saiz kertas A4) serta setebal kira-kira 0.4 milimeter.
Kerepek ubi kayu Tawau ini rangup dan rasanya agak manis kerana permukaannya disalut nipis dengan gula merah cair sebelum dimasukkan ke dalam plastik kedap udara untuk dipasarkan.
Jika anda berkesempatan ke Sabah, melalui jalan darat dari Kota Kinabalu ke daerah-daerah pantai timur seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, snek ubi buatan Tawau boleh dibeli dari gerai di tepi jalan raya sepanjang perjalanan.
Seorang pengusaha, Ruse Tekang berkata, kerepek ubi kayu bersalut gula merah ini merupakan sejenis makanan yang diwarisi daripada nenek moyang.
“Untuk membuat kerepek ubi kayu ini memang memerlukan banyak kerja. Mula-mula, ubi kayu perlu dikupas kulitnya dan dibasuh bersih-bersih. Selepas itu, ia diparut. Saya menggunakan parut kelapa elektrik untuk memarut ubi kayu ini.
“Ubi yang sudah diparut itu kemudian disimpan semalaman dalam peti sejuk untuk menjadikannya tahan lama dan tidak mudah basi serta menghasilkan kerepek yang lebih baik,” kata Ruse, 59, dari Kampung Batu Payung.
Selepas ubi parut itu disimpan semalaman dalam peti sejuk, ubi parut itu dikepal-kepal mengikut ukuran tertentu seperti orang membuat roti canai dan kemudian diletakan di atas daun pisang berbentuk segi empat tepat untuk dicanai sehingga nipis 0.4 milimeter.
“Kepingan ubi kayu yang sudah dikukus perlu terus dijemur bagi mengelak rosak. Jika ia tidak dijemur dalam tempoh dua hari, tompok-tompok putih akan muncul di permukaan kepingan ubi kayu itu yang menandakan ia sudah rosak dan perlu dibuang.
“Untuk menyiapkan sekeping kerepek ubi kayu dari peringkat mencanai hingga proses mengukus biasanya mengambil masa sehingga 15 minit,” katanya.
Memandangkan sambutan begitu menggalakkan beliau kini mampu menghasilkan sehingga 300 keping setiap hari.
“Itupun masih tidak dapat memenuhi permintaan peraih yang datang setiap minggu mengambil kerepek yang saya jual dengan harga RM1.20 sebungkus dengan setiap bungkus mengandungi tiga keping kerepek ubi,” katanya.
Beliau berkata, pendapatannya daripada membuat kerepek ubi kayu bersalut gula merah telah menjadi sumber pendapatan.
Bagaimanapun, katanya kos pengeluaran kerepek berkenaan juga kian meningkat berikutan kenaikan harga barangan termasuk plastik pembungkus.
“Dulu harga pembungkus plastik bersaiz 35cm X 45cm cuma kira-kira RM2.50 sekilogram. Namun, sekarang harganya sudah melambung kepada RM8 sekilogram,” katanya. – BERNAMA
…dipetik dari akhbar www.sinarharian.com.my