Pameran MAHA Antarabangsa 2010 merupakan acara pameran pertanian dwitahunan yang terulung di adakan Malaysia. Ditaja oleh Kementerian Pertanian and Industri Asas Tani dan dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, FAMA. Ia merupakan pameran yang terbesar dan paling komprehensif di rantau ini dan mungkin di Asia. MAHA Antarabangsa 2010 akan diadakan daripada 26 November 2010 sehingga 5 Disember 2010. Ia dijangka akan berasakan kepada kejayaan MAHA 2008 yang merupakan pameran terbesar dan telah tercatat di dalam Malaysia Book of Records. Adalah menjadi satu kepastian untuk semua industri yang berkaitan akan mengambil bahagian. Pameran tahunan ini menjanjikan teknologi terkini dengan demonstrasi yang lebih menarik dan tepat dengan juga aktiviti perdagangan yang akan menarik para pengunjung perdagangan tempatan dan luar negeri. Ia merupakan pameran para pengeluar, petani, nelayan dan penternak terbaik di Malaysia. MAHA Antarabangsa 2010 adalah satu landasan memperkenalkan syarikat pengeluaran produk agro dan makanan yang terbaik di Malaysia. Lebih daripada 950 jabatan and agensi pertanian, syarikat-syarikat swasta dan industri kecil sederhana akan mengambil bahagian. MAHA Antarabangsa 2010 akan mempamerkan produk pertanian daripada 28 negara.
Seramai 1.5 juta pengunjung dijangka melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang. Pameran MAHA 2010 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada masa kini MAHA adalah pameran pertanian terbesar Malaysia dan berjaya menarik minat 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan imejnya, MOA telah memajukan 100 hektar Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sebagai lokasi kekal untuk pameran itu. MAEPS menawarkan kemudahan tempat perjumpaan, insentif, konvensyen dan pameran.
Dengan MAEPS sebagai lokasi tetap MAHA, ia diharapkan dapat menyaingi pameran pertanian terkemuka yang lain seperti Pameran Pertanian Diraja di England, yang telah dianjurkan sejak 100 tahun lepas.

Pokok anggur merupakan tanaman jenis menjalar dan memerlukan penyokong untuk pertumbuhannya. Para setinggi 2 m dan lebar 2-3 m boleh dibina bagi menyokong pertumbuhan tanaman ini.
Setelah pokok anggur membesar, latihan untuk membentuk pokok perlu dibuat. Tunas sisi yang tumbuh di batang pokok hendaklah dibuang untuk menggalakkan tunas hujung yang sihat dan cepat naik ke para atas. Apabila pokok mencapai 1.6 m tinggi, pokok dicantas untuk mewujudkan dua dahan primer. Kedua-dua dahan primer ini dicantas lagi apabila mencapai 1 m panjang untuk membentuk dahan sekunder yang berpotensi untuk berbunga. Hanya lapan dahan sekunder sepokok disyorkan untuk menggalakkan pertumbuhan yang baik.
Cantasan untuk berbunga/berbuah
Pokok anggur boleh dicantas untuk mengeluarkan bunga dan buah apabila mencapai umur lebih daripada setahun dan garis pusat batang lebih kurang 3-4 cm. Dahan sekunder mestilah berwarna perang dan dicantas dengan meninggalkan 4-8 tunas pada dahan. Tunas-tunas ini akan berpucuk 7-10 hari selepas dicantas dan pucuk baru ini mempunyai tangkai bunga. Bunga ini akan berkembang dalam masa 15 hari.

Pembajaan
Tanaman anggur memerlukan tanah yang tinggi kandungan organik (5-10%) dan pH tanah antara 5-6.5. Baja yang mencukupi diperlukan untuk pertumbuhan dan penghasilan buah yang baik. Selain baja kimia, baja organik seperti tahi lembu/tahi ayam juga digunakan. Pembajaan mikronutrien juga diperlukan dan disembur ke daun (foliar) bersama dengan racun kulat dan racun serangga.
Serangga dan penyakit
Keadaan cuaca yang panas dan hujan yang berterusan, menyebabkan tanaman anggur sering diserang oleh serangga dan penyakit. Antara serangga yang paling serius ialah kumbang (leaf-eating beetles) dan hamama merah. Kedua-dua serangga ini menyerang daun anggur. Kulapuk downi ialah penyakit daun yang paling serius bagi tanaman anggur. Penyakit ini boleh dikenal pasti dengan bintik-bintik kekuningan di bawah daun anggur

Penanaman durian secara komersial memerlukan sistem pengairan yang cekap pada setiap peringkat untuk memastikan kejayaan yang memuaskan. Air yang mencukupi diperlukan bermula dari peringkat menanam dan seterusnya. Pada peringkat permulaan menanam, air diperlukan untuk memastikan pokok-pokok yang baru ditanam dapat hidup dan membentuk sistem akar, batang, daun yang baik dan pokok yang tegap dan sihat. Durian pada peringkat awal sangat peka terhadap keadaan kemarau dan kekurangan air boleh melemahkan pokok dan memudahkannya diserang oleh penyakit dan perosak.
Pada peringkat dewasa pula sistem pengairan lebih penting kerana air diperlukan pada masa-masa dan kuantiti yang tertentu untuk menjamin tumbesaran dan mutu buah.

Musim bunga dan buah merupakan peringkat yang sangat kritis dari segi keperluan air. Durian memerlukan tempoh kemarau yang jelas untuk mengaruhi pembungaan. Selepas pembentukan kudup, sedikit air diperlukan. Tetapi sebelum bunga kembang, air yang berlebihan boleh memusnahkan debunga. Debunga sangat peka dengan air dan dinding sel debunga boleh pecah apabila air berlebihan. Selepas pembentukan buah, air sangat diperlukan. Peringkat ini memerlukan air pada kadar yang sama dengan sejatan, iaitu lebih kurang 5 mm/hari. Bagi tanah jenis liat, pengairan boleh dijalankan 3 hari sekali tetapi hendaklah dibekalkan sebanyak 15 mm/hari. Bagi tanah jenis berpasir, pengairan perlu dijalankan setiap hari sehingga buah dipetik. Pemberian 5 mm/hari air boleh membasahi aras tanah sedalam 15 cm.
Pada minggu 1-4 selepas pembentukan buah merupakan waktu pembentukan kulit dan selepas minggu keempat ialah peringkat pembentukan isi dan biji. Tempoh waktu 4-12 minggu selepas pembentukan buah sangat kritis dan jika air berkurangan, pembentukan buah dan mutu akan terjejas. Tetapi air yang berlebihan juga membawa akibat kerana pokok mungkin mengeluarkan pucuk dan menjejaskan mutu buah.

Siapa yang belum melihat isi nangka tekam yellow blehlah lihat gambar di atas ini. Minta maaflah sebab tak dapat nak bagi rasa. Rasanya memang sedap. Memang tidak rugi menanamnya kerana ia sudah boleh berbuah seawal 2 tahun lebih sahaja. Buahnya juga boleh tahan besar atau sederhana besar. Permintaan buah nangka tekam yellow ini pun mendapat sambutan yang baik. Sesiapa ingin mencubanya bolehlah mendapatkannya di pasaran.
Baru-baru ini saya sempat melawat ke sebuah ladang penanaman kelapa pandan yang terletak di Negeri Sembilan. Lupa pula lokasi sebenar daerahnya. Menurut pemilik ladang kelapa pandan tersebut, permintaan kelapa pandan memang memuaskan. Beliau tiada masalah untuk memasarkan buah kelapa kerana ada pelanggan nya datang sendiri ke ladang untuk memborong kelapa tersebut. Kalau tidak silap saya harga borong bagi sebiji kelapa ialah di antara RM0.60-RM1.20. Harganya akan meningkat mengikut hari-hari tertentu terutama menjelangnya bulan puasa yang tidak lama lagi.


