Pameran MAHA 2010

Pameran MAHA Antarabangsa 2010 merupakan acara pameran pertanian dwitahunan yang terulung di adakan Malaysia. Ditaja oleh Kementerian Pertanian and Industri Asas Tani dan dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, FAMA. Ia merupakan pameran yang terbesar dan paling komprehensif di rantau ini dan mungkin di Asia. MAHA Antarabangsa 2010 akan diadakan daripada 26 November 2010 sehingga 5 Disember 2010. Ia dijangka akan berasakan kepada kejayaan MAHA 2008 yang merupakan pameran terbesar dan telah tercatat di dalam Malaysia Book of Records. Adalah menjadi satu kepastian untuk semua industri yang berkaitan akan mengambil bahagian. Pameran tahunan ini menjanjikan teknologi terkini dengan demonstrasi yang lebih menarik dan tepat dengan juga aktiviti perdagangan yang akan menarik para pengunjung perdagangan tempatan dan luar negeri. Ia merupakan pameran para pengeluar, petani, nelayan dan penternak terbaik di Malaysia. MAHA Antarabangsa 2010 adalah satu landasan memperkenalkan syarikat pengeluaran produk agro dan makanan yang terbaik di Malaysia. Lebih daripada 950 jabatan and agensi pertanian, syarikat-syarikat swasta dan industri kecil sederhana akan mengambil bahagian. MAHA Antarabangsa 2010 akan mempamerkan produk pertanian daripada 28 negara.
Seramai 1.5 juta pengunjung dijangka melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang. Pameran MAHA 2010 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada masa kini MAHA adalah pameran pertanian terbesar Malaysia dan berjaya menarik minat 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan imejnya, MOA telah memajukan 100 hektar Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sebagai lokasi kekal untuk pameran itu. MAEPS menawarkan kemudahan tempat perjumpaan, insentif, konvensyen dan pameran.

Dengan MAEPS sebagai lokasi tetap MAHA, ia diharapkan dapat menyaingi pameran pertanian terkemuka yang lain seperti Pameran Pertanian Diraja di England, yang telah dianjurkan sejak 100 tahun lepas.

Produk-produk Nanas

nanas-gandol
Bunga nanas bersifat tidak serasi sendiri dan memerlukan pendebungaan. Buah nanas sebenarnya ialah jenis buah komposit yang terbentuk dari 100 – 200 bebuah. Buah ini terbentuk daripada bunganya yang hermafrodit. Bagi tanaman nanas, satu “bunga nanas” ialah sebenarnya sekelompok bunga yang mengandungi banyak bunga tersusun rapi dan padat antara satu sama lain. Selepas persenyawaan, tiap-tiap bebuah mula membesar menghimpit antara satu sama lain hingga bercantum menjadi satu. Buah nanas berbentuk kon dan silinder.
nanas-josapine

Komposisi utama buah nanas ialah air 80 – 86%, gula 10 -18% dan asid sitrik 0.5 – 2%. Setiap kultivar buah nanas mempunyai ciri-ciri tersendiri seperti kandungan air, gula, asid, saiz empulur, saiz dan bentuk buah serta warna isi buah. Jambul buah yang terdapat diatas buah nanas sebenarnya adalah batang pendek yang mempunyai meristem dan daun. la boleh juga digunakan sebagai bahan tanaman.

nanas-n36

Di  Malaysia, pelbagai produk-produk pertanian dapat dihasilkan daripada hasil nanas ini. Antara yang biasa diamalkan ialah  nanas yang dimakan segar.
Buah nanas yang masak dimakan segar, dibuat salad buah atau rojak dan di cecah dengan perasa sos atau sambal. Buah nanas matang juga boleh dimasak untuk sajian seperti pajeri nanas, kari, masak lemak, kerabu, acar dan juga kuih-muih seperti tat, pie, kek dan puding.
nanas-selangor-sweet

Nanas Kaleng
Buah nanas diawet dan dikaleng untuk tujuan eksport dan penyimpanan lama dalam berbagai bentuk seperti potongan membulat, potongan dadu, bentuk hancur dan ketulan. Buah nanas juga dikalengkan sebagai koktail dengan buah-buahan lain.

Buah diproses
Buah-buah nanas boleh juga diproses untuk menghasilkan jem, jus, kordial, cuka dan minuman keras.

“Pertanian Menjana Ekonomi Negara”

Pengendalian pasca tuai

labu
Pengendalian pasca tuai bermaksud pergerakan hasil tuaian daripada peringkat penuaian hingga ke peringkat pengguna. Pengendalian ini melibatkan operasi penuaian, pengendalian di ladang, penggredan,  pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan, pemprosesan primer, dan pengagihan. Pengawalan mutu hasil hendaklah diberi perhatian pada setiap peringkat pengendalian.

labu21
Pengendalian pasca tuai di tempat mengumpul dan memproses biasanya melibatkan perkara berikut:
a. Pemilihan
Sayuran yang lebam, layu, busuk dan sebagainya perlu diasingkan daripada sayuran yang baik atau perlu dipotong bahagian yang rosak.
b. Pembasuhan
Sayur jenis daun terutama yang dituai bersama-sama akar atau rizom perlu dibersihkan dengan air bersih untuk mengeluarkan kotoran atau sisa kimia yang terlekat pada sayur.
c. Pengeringan
Sayuran yang dibasuh perlu ditoskan atau dikeringkan untuk mengurangkan kelembapan di luar sayuran yang boleh menyebabkan jangkitan kulat. Elakkan pengeringan berlebihan boleh menyebabkan sayuran layu atau menjadi kecut.
d. Menggredkan hasil
Sayuran digred mengikut varieti, tahap kematangan, tahap kecederaan mekanikal, warna, tahap serangan perosak serta penyakit, saiz, rupa keseluruhan dan umur mengikut jenis sayuran. Sayuran yang telah digredkan lebih seragam, mudah dipasarkan dan mendapat harga pasaran yang lebih baik.
e. Sistem pembungkusan
Tujuan pembungkusan sayuran adalah untuk melindunginya daripada kerosakan semasa pengendalian, pengangkutan dan sebagai daya tarikan kepada pengguna. Bahan pembungkus dipilih berdasarkan jenis sayuran, kekuatan mekanikal, muatan, pengudaraan, jarak pengangkutan dan jenis pasaran. Pembungkusan pukal perlu menggunakan bekas atau kotak yang sesuai seperti diperbuat daripada plastik, kertas, kayu, buluh atau rotan.
f. Penyahhijauan
Bertujuan untuk mendapatkan warna yang menarik dan seragam untuk hasil sayuran yang telah dituai pada peringkat kematangan fisiologi, tetapi masih berwarna hijau seperti cili. Gas asetilena daripada kalsium karbida akan menyebabkan pigmen klorofil termusnah dan menimbulkan pigmen karotena yang berwarna merah atau oren.
g. Rawatan air panas
Cili direndam pada suhu 50°C selama tiga hingga lima minit untuk mengawal penyakit antraknos.
h. Penyimpanan dalam bilik sejuk mengikut suhu yang sesuai
Penyimpanan bersistem membolehkan mutu sayuran dikekalkan untuk jangka masa panjang sebelum digunakan. Penyimpanan bersistem juga membolehkan perancangan yang teratur untuk memudahkan pemasaran terutama apabila hasil berkurangan atau berlebihan pada sesuatu masa. Bagi tempoh simpanan yang lama, hasil perlu disimpan di dalam bilik sejuk yang mempunyai sistem pengawalan suhu dan kelembapan relatif yang baik.

Hasil-hasil Pertanian dari Sarawak

Hasil-hasil pertanian yang banyak dari Sarawak adalah seperti lada hitam..

juga produk-produk berasakan lada seperti lada putih…

dan buah yang jarang kita lihat di Semenanjung iaitu terung mas.

“Pertanian Adalah Perniagaan”

Kerepek ubi kayu Tawau yang unik

Apabila disebut kerepek ubi, kita dengan sendirinya membayangkan kepingan nipis ubi kayu berbentuk bujur dan bersaiz gelang getah yang rangup dimakan. Kerepek ubi dengan pelbagai perasa masin, manis dan pedas itu biasanya mengambil bentuk ubi kayu yang dihiris nipis sebelum digoreng atau dikeringkan.

Kepingan nipis atau kerepek ubi kayu itu sudah begitu dikenali di pasaran sehingga begitu mudah didapati dan dibeli di mana-mana pusat beli-belah. Kaedah pembungkusannya juga begitu menarik dan setanding dengan snek ubi keluaran luar negara.

Bagaimanapun, snek ubi kayu bersalut gula merah keluaran Tawau agak berlainan dan unik berbanding snek ubi kayu biasa kerana selain berbeza dari segi rasa, ia juga berbeza dari segi cara pembuatan, malah saiznya.

Kerepek ubi kayu Tawau ini dibuat daripada ubi kayu yang diparut. Ia berbentuk segi empat bersaiz 20cm X 25cm (saiz kertas A4) serta setebal kira-kira 0.4 milimeter.

Kerepek ubi kayu Tawau ini rangup dan rasanya agak manis kerana permukaannya disalut nipis dengan gula merah cair sebelum dimasukkan ke dalam plastik kedap udara untuk dipasarkan.

Jika anda berkesempatan ke Sabah, melalui jalan darat dari Kota Kinabalu ke daerah-daerah pantai timur seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, snek ubi buatan Tawau boleh dibeli dari gerai di tepi jalan raya sepanjang perjalanan.

Seorang pengusaha, Ruse Tekang berkata, kerepek ubi kayu bersalut gula merah ini merupakan sejenis makanan yang diwarisi daripada nenek moyang.

“Untuk membuat kerepek ubi kayu ini memang memerlukan banyak kerja. Mula-mula, ubi kayu perlu dikupas kulitnya dan dibasuh bersih-bersih. Selepas itu, ia diparut. Saya menggunakan parut kelapa elektrik untuk memarut ubi kayu ini.

“Ubi yang sudah diparut itu kemudian disimpan semalaman dalam peti sejuk untuk menjadikannya tahan lama dan tidak mudah basi serta menghasilkan kerepek yang lebih baik,” kata Ruse, 59, dari Kampung Batu Payung.

Selepas ubi parut itu disimpan semalaman dalam peti sejuk, ubi parut itu dikepal-kepal mengikut ukuran tertentu seperti orang membuat roti canai dan kemudian diletakan di atas daun pisang berbentuk segi empat tepat untuk dicanai sehingga nipis 0.4 milimeter.

“Kepingan ubi kayu yang sudah dikukus perlu terus dijemur bagi mengelak rosak. Jika ia tidak dijemur dalam tempoh dua hari, tompok-tompok putih akan muncul di permukaan kepingan ubi kayu itu yang menandakan ia sudah rosak dan perlu dibuang.

“Untuk menyiapkan sekeping kerepek ubi kayu dari peringkat mencanai hingga proses mengukus biasanya mengambil masa sehingga 15 minit,” katanya.

Memandangkan sambutan begitu menggalakkan beliau kini mampu menghasilkan sehingga 300 keping setiap hari.

“Itupun masih tidak dapat memenuhi permintaan peraih yang datang setiap minggu mengambil kerepek yang saya jual dengan harga RM1.20 sebungkus dengan setiap bungkus mengandungi tiga keping kerepek ubi,” katanya.

Beliau berkata, pendapatannya daripada membuat kerepek ubi kayu bersalut gula merah telah menjadi sumber pendapatan.

Bagaimanapun, katanya kos pengeluaran kerepek berkenaan juga kian meningkat berikutan kenaikan harga barangan termasuk plastik pembungkus.

“Dulu harga pembungkus plastik bersaiz 35cm X 45cm cuma kira-kira RM2.50 sekilogram. Namun, sekarang harganya sudah melambung kepada RM8 sekilogram,” katanya. – BERNAMA

…dipetik dari akhbar www.sinarharian.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...