Cantuman Pokok

cantuman

Selain pembiakan menggunakan biji benih, pembiakan tampang banyak digunakan dalam penghasilan anak pokok. Pada kebiasaanya pokok buah-buahan dibiakkan secara cantuman. Antara cantuman yang biasa digunakan ialah cantuman mata tunas dan cantuman baji .  Kaedah ini digunakan adalah bagi mempercepatkan masa produktif pokok untuk menghasilkan buah. Selain itu, ia dapat menghasilkan klon yang mempunyai maklumat genetik yang sama seperti pokok induk.
Alat mencantum anak pokok buah-buahan yang biasa digunakan ialah pisau mencantum yang tajam dan bersih, gunting, plastik cantum dan yang paling penting kayu matatunas yang subur dan sesuai.

Selepas anak pokok cantuman menjadi dipindahkan ke rumah lindungan, ianya dibaja sekali dengan ’pellets’ najis ayam @ 5gm sepokok. Di samping itu, baja sebatian juga dibekal dengan kadar 5gm sepokok selama 3 kali pembajaan.

Antara perkara-penting bagi kejayaan pokok cantuman adalah seperti berikut;

Penyediaan Kayu Matatunas – Pengurusan yang baik dipetak-petak pembiakan dan kawasan kayu matatunas mebolehkan kayu matatunas senang diperolehi apabila pokok-pokok penanti sesuai dicantum.

Pada kebiasaannya kadar menjadi menurun apabila umur pokok penanti meningkat. Cantumkan segera apabila pokok penanti mencapai peringkat tersebut.

Memindah Pokok Cantuman Dari Petak Pembiakan Ke Petak Rumah Lindungan/Membekal Pokok Cantuman – Pada aktiviti ini kerap terdapat pekerja-pekerja memegang batang pokok apabila mengangkat polybeg. Ini hendaklah dielakkan kerana pokok-pokok belum lagi kukuh dan boleh mencederakan/mengganggu akarnya.

Cili Padi Semerah

cili-semerah

Teknologi pertanian semakin berkembang dari tahun ke tahun. Begitu jugalah perkembangan teknologi biji benih. Satu varieti cili padi baru yang diberi nama Semerah itu telah berjaya dihasilkan hasil usaha penyelidik MARDI selepas menjalankan penyelidikan selama 17 tahun. Cili padi (Semerah) ini adalah hasil pembangunan varieti bagi menghasilkan cili baru dari genotip yang berasal dari luar Negara. Ia dibangunkan melalui kaedah pemilihan baka sepokok (SSD) daripada bahan genetik dari Mexico.
Antara keistimewaan Semerah adalah seperti ia berkemampuan untuk mendatangkan hasil yang lebih banyak, mempunyai tempoh matang yang lebih singkat, mampu berbuah secara serentak dan boleh dipetik dalam 11-12 minggu selepas diubah ke ladang. Bergantung kepada jenis tanah dan keadaan persekitaran, penghasilan Semerah dikatakan boleh mencapai antara 650-1,985 (g/pokok) semusim. Dengan penjagaan yang sempurna, satu pusingan tanaman Semerah boleh berlanjutan hingga setahun.
Varieti cili Semerah nyata boleh dimanfaatkan oleh para pengusaha dan juga negara dari segi kualiti dan kuantiti yang mampu dihasilkannya selain dijamin mutunya. Varieti Semerah itu mampu menghasilkan produktiviti lebih dua atau tiga kali ganda berbanding varieti cili padi biasa. Cili Semerah ini juga berbuah secara serentak dan ini secara pastinya menjimatkan masa peladang dan pengusaha daripada perlu memetik cili yang pada kebiasaannya berbuah secara tidak menentu. Selain itu, salah satu kelebihan cili Semerah ini, ia juga mampu menghasilkan cili walaupun dijangkiti penyakit ataupun virus.

Dari segi rasa, cili pada semerah tidaklah sepedas cili padi kampung atau cili akar.. Mungkin anda mempunyai rasa yang berbeza tentang cili.. Bagi yang sukakan kepedasan, cili ini bukan untuk anda.. Jika anda pernah tanam cili ini bolehlah dikongsikan bersama…

Kegunaan Pokok Jarak

Jarak atau nama saintifiknya Jatropha Curcas dipercayai berasal dari benua Afrika.  Jarak mempunyai kepentingan tidak sahaja dari segi kesihatan malah dari segi ekonomi. Minyak yang terhasil daripada biji jarak digunakan untuk menyalakan pelita. Walau bagaimanapun, kepentingan pokok jarak tidak mempunyai pasaran lagi. Tetapi dari segi kegunaan dalam perubatan tradisional jarak amat penting sekali. Semua bahagian pokok jarak boleh dibuat ubat.

Antara kegunaan jarak ialah, daunnya yang segar jika dipanaskan boleh mengubati penyakit gout, reumatisme, sakit kepala, ulser dan sesak nafas. Orang China menggunakan biji jarak untuk mengubati uterus atau rektum yang terkeluar dengan dihancurkan dan digosok di kepala. Jika digosok pada tapak kaki, ia boleh merangsang plasenta keluar selepas bersalin. Biji jarak juga dijadikan ubat sakit kepala, pekak, tibi, penyakit kulit, berak berdarah, buasir, bengkak-bengkak, penyakit buah pinggang, perangsang buang air besar dan juga merangsang proses bersalin. Akar dan daun digunakan sebagai ubat lumpuh saraf pada muka, tetanus, sawan, sakit sendi dan pelbagai penyakit kulit.

Di Amerika Tengah, terdapat amalan memakan dua atau tiga biji jarak sebagai perangsang untuk membuang air besar. Minyak yang diperoleh daripada biji jarak juga ditelan sebagai julap. Di Guatemala, biji jarak dicampur dengan turpentin dan ditelan untuk membunuh cacing pita di dalam perut. Di Bahamas dan Caicos, minyak dari biji jarak ditelan untuk mengubati selesema dan juga menjadi tonik bagi kanak-kanak dan ibu yang baru bersalin. Di Trinidad, minyak jarak ditelan oleh ibu yang sedang mengandung dan selepas bersalin untuk merangsang buang air besar. Di Curacao, minyak jarak digunakan sebagai ubat sapu untuk mengubati bengkak-bengkak pada badan. Di Mexico, daun jarak yang telah disalai dilekapkan pada payudara ibu yang menyusui anak untuk merangsang pengaliran susu. Ia juga berkesan untuk mengubati penyakit reumatisme dan tumor yang teruk.

Daun pokok yang segar ini jika dibalut pada kepala boleh melegakan sakit kepala dan demam panas. Selain itu daun yang ditumbuk berguna untuk mengatasi sakit perut dan juga ditampal pada bisul dan kudis. Di Yucatan, daun jarak ditampal pada badan untuk merangsang peluh supaya dapat mengatasi demam panas. Manakala daun yang disapu minyak kelapa atau minyak salad dipercayai boleh mengatasi kejang otot dan bengkak di kaki dengan cara dibalut pada bahagian kaki yang bengkak. Di samping itu ia juga digunakan untuk mengatasi sakit gigi.

Di Brazil, air rebusan daun jarak digunakan untuk mengecutkan buasir dengan berendam di dalam airnya. Air rebusan ini juga boleh diminum untuk mengatasi masalah kolon. Di Cuba pula ia digunakan untuk merangsang buang air kecil dan mengatasi masalah kelenjar prostat yang bengkak. Manakala di Jamaica, ia digunakan untuk mengatasi bengkak-bengkak sendi. Di Bermuda pula daun yang ditumbuk lumat di sapu pada gusi yang bengkak.

Dokong

Dokong (Lansium domesticum Corr) merupakan sejenis buah- buahan yang mempunyai potensi dan berdaya maju untuk dikomersilkan masa kini. Dokong dipercayai berasal dari Kg. Simpul, Daerah Tanjung Mas di Wilayah Narathiwat, Thailand. Di Thailand, dokong dikenali sebagai longkong atau longgong dan ia adalah satu tanaman tempatan yang berekonomi tinggi dengan harga pasaran yang amat lumayan. Thailand juga telah mulai mengeksport dokong bersama buah-buahan tropika lain ke negara-negara seperti Jepun dan Hong Kong.
Dokong dibawa masuk ke Malaysia dari Thailand dan telah ditanam di kawasan bersempadan dengan negara jiran seperti Jajahan Jeli dan Tanah Merah di Kelantan, Besut dan Jerangau di Terengganu dan Baling di Kedah.

Terdapat tiga jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu dokong kering, dokong air dan dokong biji atau dokong butir. Perbezaan diantara ketiga-tiga adalah seperti berikut:-
(a) Dokong Kering
Dokong yang ditanam secara komersial ialah dokong kering kerana buah dokong kering sangat manis, kulittidak bergetah, kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah keset. Buahnya tersusun rapat di tangkai dan oleh sebab itu kebanyakan dokong kering berbentuk muncung atau lonjong. Terdapat juga bentuk buah bulat, bujurdan variasi lain dalam kategori dokong kering ini.
(b) Dokong Air
Kandungan air dalam buah dokong jenis ini adalah tinggi. Air akan terpancut keluar apabila kulit ditekan. Bentuk buah dokong air adalah bulat. Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis tetapi bergetah. Dokong air tidak ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah rendah.
(c) Dokong Biji Atau Dokong Butir
Setiap ulas dokong biji mengandungi satu biji benih yang besar dan bernas. Isinya sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih tebal dari dokong kering dan dokong air tidak bergetah. Buah dokong biji tidak mempunyai nilai komersial tetapi bijinya boleh diguna sebagai sumber benih pokok penanti.

Masalah Rumpai Dalam Pertanian

rumpai

Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian.

Dalam tanaman tertentu, rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini seperti rumpai Echinochloa crus-galli yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot. Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman.

Rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Misalnya, dalam tanaman kacang tanah,rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani.

Rumpai boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam penghasilan tanaman, dan keindahan alam sekitar. Oleh yang demikian rumpai perlulah dikawal pertumbuhannya. Terdapat pelbagai kaedah pengawalan rumpai yang boleh digunakan. Antaranya, kawalan secara mekanik, kawalan secara biologi, kawalan secara pencegahan melalui amalan yang baik dan kawalan secara menggunakan racun rumpai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...