Segala informasi tentang teknologi pertanian
pertanian
Anak Benih Pisang Berangan
Dec 3rd
Anak Benih Pisangan Berangan yang terdapat di Nursery Felda Sg.Tengi. Anak Benih Pisangan Berangan merupakan anak benih yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Kini, banyak syarikat swasta yang telah menceburi dalam teknologi tisu kultur bagi penghasilan anak benih pisang bagi memenuhi permintaan pasaran. Harga benih pisang pun sudah meningkat sedikit dari semasa ke semasa.
Berat Jambu Batu Lohan
Dec 3rd
Jambu Batu Lohan antara klon jambu batu yang popular buat masa ini. Beratnya mampu mencapai lebih 1kg sekiranya dibuat penjarangan buah. Namun bagi buah Gred A kebiasaanya beratnya mesti lebih dari 500gram kalau tidak silap saya. Itupun bergantung pada penjual dan pemborong jambu batu di sesuatu kawasan atau daerah. Harga di ladang bagi Gred A boleh mencecah RM4-RM5 bagi setiap kg.
Penyakit pokok Pisang
Sep 5th
Pisang merupakan tanaman komersial kedua di Malaysia selepas durian dengan keluasan sekitar 27,453 hektar. Pisang boleh dimakan segar atau diproses menjadi pelbagai jenis produk seperti kerepek dan tepung. Bagi memenuhi tuntutan permintaan pasaran tempatan dan luar negara, para penanam diharap dapat meningkatkan hasil keluaran (metrik per tan) pisang selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan tanaman pisang sebagai salah satu tanaman yang akan diberi perhatian khusus di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagaimana diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Bagaimanapun, matlamat untuk menjadikan industri pisang sebagai tanaman komersial kedua di negara ini tidak akan menjadi realiti sekiranya penyakit utama industri ini tidak ditangani dengan sewajarnya.
Dewasa ini, penyakit seperti Layu Panama merupakan ancaman serius kepada industri pisang di negara ini. Penyakit Layu Panama disebabkan oleh kulat Fusarium oxysporum f.sp. cubense (FOC) mudah menyerang pisang rastali dan embun.
Kesannya, pertumbuhan tanaman pisang terbantut dan menyebabkan kehilangan berat hasil tanaman seterusnya menjejaskan industri tanaman ini.
Situasi ini semakin serius dengan kemunculan penyakit layu bakteria baru dikenali sebagai Moko. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Ralstonia solanacearum ras 2 biovar l Strain bakteria ini menyerang keluarga pisang (Musa sp.) dan tanaman hiasan Heliconia spp. Penyakit ini sering merebak selepas berlakunya banjir.
Bagi mengelakkan masalah ini berlarutan, pendekatan Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) perlu dilaksanakan setiap pengusaha tanaman
pisang. Kesedaran mengenai isu penyakit ini perlu ditingkatkan bagi mengekang ia daripada terus merebak.
Penyakit ini boleh dikawal dengan Fluorescent pseudomonads (PF) ditambah dengan nonpathogenic Fusarium spp boleh meningkatkan daya ketahanan tanaman pisang terhadap penyakit Layu Fusarium yang disebabkan Fusarium oxysporum f.p cubense. Rawatan ini boleh dilakukan terhadap tanaman pisang dan plantlet.
Rawatan plantlet menggunakan asid fusarik boleh mengurangkan intensiti penyakit yang disebabkan oleh bakteria fusarium dalam situasi jangkitan yang teruk tetapi kadar pertumbuhan tanaman akan terbantut.
Sekiranya serangan terlalu kritikal, tanaman pisang perlu diberi baja kompos dan NPK dalam kadar yang tinggi bagi mendapatkan kadar pertumbuhan sepatutnya.
Tanaman Rambutan
Sep 23rd
Tanaman rambutan merupakan satu tanaman popular di Malaysia. Ini kerana rakyat Malaysia masih menggemari buah rambutan. Rambutan yang paling disukai adalah seperti rambutan anak sekolah, rambutan gula batu, rambutan deli dan sebagainya. Pokok rambutan berbunga dan berbuah mengikut musim. Musim buah ialah dua kali setahun, iaitu musim buah utama pada bulan Jun hingga Ogos dan sekali lagi pada bulan Disember hingga Januari. Pada musim utama, pokok rambutan berbuah lebat dan buah-buah yang bergantungan kelihatan begitu menarik sekali. Bunganya dikeluarkan dalam jambak di hujung ranting dan juga di sisi. Jambak bunga ini tegak tetapi bercabang-cabang. Bunganya kecil.berbulu halus dan berwarna ke-hijauan. Bunga rambutan berseks tunggal. Pokok jantan hanya mengeluarkan bunga jantan atau staminat. Buah rambutan berbentuk bulat atau lonjong sedikit. Buah muda berwarna hijau, tetapi yang masak berwarna merah cerah atau kuning mengikut jenis. Kulitnya yang agak tebal diselaputi bulu-bulu lembut. Isi yang dimakan berwarna putih jernih atau kekuningan dan lembut. Bijinya bujur panjang atau elips dan berwarna perang pucat.
Terdapat sebanyak 200 klon yang telah didaftarkan di Malaysia, kebanyakannya mempunyai buah yang berwarna merah. Hanya klon R156 mempunyai kulit buah berwarna kuning dan dikenali sebagai ‘rambutan gading’. Klon-klon lain mempunyai buah yang berwarna merah. Kebiasaanya, pokok rambutan dibiakkan secara tampang dengan teknik cantuman mata tunas. Jika anda berminat dengan tanaman rambutan, bolehlah mendapatkan benih yang diakui sah di Jabatan Pertanian.
Pameran MAHA 2010
Sep 8th
Pameran MAHA Antarabangsa 2010 merupakan acara pameran pertanian dwitahunan yang terulung di adakan Malaysia. Ditaja oleh Kementerian Pertanian and Industri Asas Tani dan dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, FAMA. Ia merupakan pameran yang terbesar dan paling komprehensif di rantau ini dan mungkin di Asia. MAHA Antarabangsa 2010 akan diadakan daripada 26 November 2010 sehingga 5 Disember 2010. Ia dijangka akan berasakan kepada kejayaan MAHA 2008 yang merupakan pameran terbesar dan telah tercatat di dalam Malaysia Book of Records. Adalah menjadi satu kepastian untuk semua industri yang berkaitan akan mengambil bahagian. Pameran tahunan ini menjanjikan teknologi terkini dengan demonstrasi yang lebih menarik dan tepat dengan juga aktiviti perdagangan yang akan menarik para pengunjung perdagangan tempatan dan luar negeri. Ia merupakan pameran para pengeluar, petani, nelayan dan penternak terbaik di Malaysia. MAHA Antarabangsa 2010 adalah satu landasan memperkenalkan syarikat pengeluaran produk agro dan makanan yang terbaik di Malaysia. Lebih daripada 950 jabatan and agensi pertanian, syarikat-syarikat swasta dan industri kecil sederhana akan mengambil bahagian. MAHA Antarabangsa 2010 akan mempamerkan produk pertanian daripada 28 negara.
Seramai 1.5 juta pengunjung dijangka melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang. Pameran MAHA 2010 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada masa kini MAHA adalah pameran pertanian terbesar Malaysia dan berjaya menarik minat 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan imejnya, MOA telah memajukan 100 hektar Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sebagai lokasi kekal untuk pameran itu. MAEPS menawarkan kemudahan tempat perjumpaan, insentif, konvensyen dan pameran.
Dengan MAEPS sebagai lokasi tetap MAHA, ia diharapkan dapat menyaingi pameran pertanian terkemuka yang lain seperti Pameran Pertanian Diraja di England, yang telah dianjurkan sejak 100 tahun lepas.




