
Penanaman durian secara komersial memerlukan sistem pengairan yang cekap pada setiap peringkat untuk memastikan kejayaan yang memuaskan. Air yang mencukupi diperlukan bermula dari peringkat menanam dan seterusnya. Pada peringkat permulaan menanam, air diperlukan untuk memastikan pokok-pokok yang baru ditanam dapat hidup dan membentuk sistem akar, batang, daun yang baik dan pokok yang tegap dan sihat. Durian pada peringkat awal sangat peka terhadap keadaan kemarau dan kekurangan air boleh melemahkan pokok dan memudahkannya diserang oleh penyakit dan perosak.
Pada peringkat dewasa pula sistem pengairan lebih penting kerana air diperlukan pada masa-masa dan kuantiti yang tertentu untuk menjamin tumbesaran dan mutu buah.

Musim bunga dan buah merupakan peringkat yang sangat kritis dari segi keperluan air. Durian memerlukan tempoh kemarau yang jelas untuk mengaruhi pembungaan. Selepas pembentukan kudup, sedikit air diperlukan. Tetapi sebelum bunga kembang, air yang berlebihan boleh memusnahkan debunga. Debunga sangat peka dengan air dan dinding sel debunga boleh pecah apabila air berlebihan. Selepas pembentukan buah, air sangat diperlukan. Peringkat ini memerlukan air pada kadar yang sama dengan sejatan, iaitu lebih kurang 5 mm/hari. Bagi tanah jenis liat, pengairan boleh dijalankan 3 hari sekali tetapi hendaklah dibekalkan sebanyak 15 mm/hari. Bagi tanah jenis berpasir, pengairan perlu dijalankan setiap hari sehingga buah dipetik. Pemberian 5 mm/hari air boleh membasahi aras tanah sedalam 15 cm.
Pada minggu 1-4 selepas pembentukan buah merupakan waktu pembentukan kulit dan selepas minggu keempat ialah peringkat pembentukan isi dan biji. Tempoh waktu 4-12 minggu selepas pembentukan buah sangat kritis dan jika air berkurangan, pembentukan buah dan mutu akan terjejas. Tetapi air yang berlebihan juga membawa akibat kerana pokok mungkin mengeluarkan pucuk dan menjejaskan mutu buah.
tumpang tanya… saya nak tahu bagaimana pengairan untuk sukatan 5 mm/hari atau 15 mm/hari boleh dilakukan.. Agak2, kalau dlm liter, berapa banyak dan dimana saya patut siram.. apa dipangkal pokok atau ada jarak tertentu.. maaf kerana pengetahuan saya agak cetek dlm perihal penjagaan pokok.. terima kasih..
Boleh tak admin menceritakan setiap jenis durian yang tersohor di tanah air ini. Sekian terima kasih.