Segala informasi tentang teknologi pertanian
Archive for May, 2010
Pengendalian pasca tuai
May 15th

Pengendalian pasca tuai bermaksud pergerakan hasil tuaian daripada peringkat penuaian hingga ke peringkat pengguna. Pengendalian ini melibatkan operasi penuaian, pengendalian di ladang, penggredan, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan, pemprosesan primer, dan pengagihan. Pengawalan mutu hasil hendaklah diberi perhatian pada setiap peringkat pengendalian.

Pengendalian pasca tuai di tempat mengumpul dan memproses biasanya melibatkan perkara berikut:
a. Pemilihan
Sayuran yang lebam, layu, busuk dan sebagainya perlu diasingkan daripada sayuran yang baik atau perlu dipotong bahagian yang rosak.
b. Pembasuhan
Sayur jenis daun terutama yang dituai bersama-sama akar atau rizom perlu dibersihkan dengan air bersih untuk mengeluarkan kotoran atau sisa kimia yang terlekat pada sayur.
c. Pengeringan
Sayuran yang dibasuh perlu ditoskan atau dikeringkan untuk mengurangkan kelembapan di luar sayuran yang boleh menyebabkan jangkitan kulat. Elakkan pengeringan berlebihan boleh menyebabkan sayuran layu atau menjadi kecut.
d. Menggredkan hasil
Sayuran digred mengikut varieti, tahap kematangan, tahap kecederaan mekanikal, warna, tahap serangan perosak serta penyakit, saiz, rupa keseluruhan dan umur mengikut jenis sayuran. Sayuran yang telah digredkan lebih seragam, mudah dipasarkan dan mendapat harga pasaran yang lebih baik.
e. Sistem pembungkusan
Tujuan pembungkusan sayuran adalah untuk melindunginya daripada kerosakan semasa pengendalian, pengangkutan dan sebagai daya tarikan kepada pengguna. Bahan pembungkus dipilih berdasarkan jenis sayuran, kekuatan mekanikal, muatan, pengudaraan, jarak pengangkutan dan jenis pasaran. Pembungkusan pukal perlu menggunakan bekas atau kotak yang sesuai seperti diperbuat daripada plastik, kertas, kayu, buluh atau rotan.
f. Penyahhijauan
Bertujuan untuk mendapatkan warna yang menarik dan seragam untuk hasil sayuran yang telah dituai pada peringkat kematangan fisiologi, tetapi masih berwarna hijau seperti cili. Gas asetilena daripada kalsium karbida akan menyebabkan pigmen klorofil termusnah dan menimbulkan pigmen karotena yang berwarna merah atau oren.
g. Rawatan air panas
Cili direndam pada suhu 50°C selama tiga hingga lima minit untuk mengawal penyakit antraknos.
h. Penyimpanan dalam bilik sejuk mengikut suhu yang sesuai
Penyimpanan bersistem membolehkan mutu sayuran dikekalkan untuk jangka masa panjang sebelum digunakan. Penyimpanan bersistem juga membolehkan perancangan yang teratur untuk memudahkan pemasaran terutama apabila hasil berkurangan atau berlebihan pada sesuatu masa. Bagi tempoh simpanan yang lama, hasil perlu disimpan di dalam bilik sejuk yang mempunyai sistem pengawalan suhu dan kelembapan relatif yang baik.
