Masalah Rumpai Dalam Pertanian

rumpai

Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian.

Dalam tanaman tertentu, rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini seperti rumpai Echinochloa crus-galli yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot. Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman.

Rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Misalnya, dalam tanaman kacang tanah,rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani.

Rumpai boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam penghasilan tanaman, dan keindahan alam sekitar. Oleh yang demikian rumpai perlulah dikawal pertumbuhannya. Terdapat pelbagai kaedah pengawalan rumpai yang boleh digunakan. Antaranya, kawalan secara mekanik, kawalan secara biologi, kawalan secara pencegahan melalui amalan yang baik dan kawalan secara menggunakan racun rumpai.

Tisu Kultur Banyak Kelebihannya

tisu-kultur

KAEDAH moden pembiakan anak benih pokok pisang secara tisu kultur dilihat mampu menjana pembiakan berganda dan sekali gus menyelesaikan masalah kepada peladang yang ingin mengusahakan tanaman pisang secara skala besar dan komersial.

Kalau selama ini peladang sering dihantui bagaimana untuk mendapatkan anak benih dalam jumlah yang besar di samping mampu mengeluarkan hasil berkualiti dan tahan serangan penyakit kini dengan adanya teknologi TISU KULTUR , masalah ini dijangka dapat diatasi.

Banyak kelebihan tanaman melalui kaedah tisu kultur antaranya;

* Penghasilan bahan tanaman bermutu tinggi, sihat, bebas penyakit dan seragam dalam jumlah yang besar.

* Spesies tanaman herba yang dibiakkan secara in-vitro didapati kurang variasi di dalam kandungan secondary metabolites berbanding pembiakan biasa.

* Sesuai untuk spesies tanaman yang sukar dibiakkan dan spesies yang hampir pupus.

* Bahan tanaman yang bebas patogen serta disimpan di dalam keadaan in-vitro membolehkan pertukaran sumber genetik organisme yang selamat di antara negara.

Klon Belimbing yang Baik

Di Malaysia, sebanyak 17 klon telah didaftarkan oleh Jabatan Pertanian. Hanya 3 klon iaitu B 2, B 10 dan B 17 yang banyak ditanam. Klon B 2 (MAHA 66) seberat 150-200 g sebiji . Isi buah berwarna putih kehijauan, manis, berair dan bertekstur halus. Seginya yang lembut menyebabkan buahnya cepat rosak. Klon ini banyak ditanam sebagai pemberi debunga untuk meninggikan peratus pembentukan buah klon lain.
Buah klon B 10 besar, 200-300 g sebiji.. Apabila masak, buahnya kuning keemasan, manis, mengandungi air yang banyak dan tekstur yang halus serta beraroma. Kandungan pepejal larut (TSS) purata ialah 8-10%. Klon ini mempunyai ciri yang baik untuk pasaran antarabangsa.
B 17 (Belimbing Madu) ialah klon yang terbaru yang didaftarkan pada tahun 1988. Buahnya berbentuk silinder, berwarna merah keemasan, berserabut, berair tetapi rangup dan pejal serta beraroma sederhana. TSS buah ialah 12-18%.
Klon B 11 (Chan Yong 1) sangat kurang ditanam. Pokoknya yang kecil sangat sesuai untuk pengendalian buah dan sebagai pemberi debunga untuk klon yang terpilih seperti B 10 dan B 17. Buahnya kuning kemerahan, berserabut dan berbentuk silinder dengan segi yang tebal.
Biasanya, pokok yang dibiakkan secara tampang akan mula mengeluarkan bunga beberapa bulan selepas ditanam. Walau bagaimanapun, bunga pada pokok yang berumur kurang daripada setahun perlulah dibuang supaya pertumbuhan tampang pada peringkat awal tidak terganggu. Pokok mula digalakkan untuk mengeluarkan hasil pada tahun yang kedua.

Buah yang banyak mudah didapati tetapi buah yang besar dan berbentuk baik serta tidak diserang oleh serangga perosak sukar diperolehi. Saiz buah boleh ditingkatkan dengan menjarangkan dan membalut buah.

Sebanyak 300-400 biji buah perlu dibuang bagi setiap 1,000 buah yang terbentuk. Buah klon B 10 boleh dipetik setelah 42-45 hari dibalut.Biasanya, musim puncak hasil ialah bulan April dan Disember. Di Malaysia, hasil untuk pulangan keuntungan ialah 200 biji/pokok.

Belimbing mempunyai kadar pembentukan buah yang rendah (2.79-2.98%) kerana tanaman ini memerlukan pendebungaan dari dua jenis benang sari yang berbeza. Oleh itu, sistem campuran klon perlu diamalkan bagi meninggikan hasil. Sistem yang sering diamalkan adalah mencantumkan klon B 2 atau B 11 pada satu dahan pokok B 10 atau B 17. Teknik ini akan membanyakkan peluang untuk pendebungaan silang.

Kaedah autopot

paip-autopot1

Teknologi penanaman fertigasi menggunakan kaedah autopot adalah merupakan satu inovasi baru dalam bidang pertanian moden di Malaysia. Kaedah autopot adalah sistem yang membekalkan nutrien kepada tumbuhan dengan tepat mengikut keperluan secara automatik. Ia banyak digunakan di negara maju seperti di Australia dan di Eropah menggantikan kaedah fertigasi “drip to waste system” yang menggunakan habuk kelapa. Keperluan paras air atau larutan nutrient dikawal oleh smart valve. Pokok ditanam dalam polibeg yang mengandungi serpihan batu-batan dan polibeg ini diletak dalam autopot.

Autopot dibuat daripada High Density Poliethelin (HDPE) dan jangka hayatnya tahan selama lebih kurang 5-10 tahun.
Tanaman yang paling sesuai dan ekonomik ditanam adalah tanaman jenis Rock Melon,Chili, Dan Tomato kerana seiring dengan keadaan harga pasaranya yang agak tinggi dan permintaan yang mantap sepanjang tahun. Timun jepun, Terung, Kacang Bendi, Kacang Panjang, Peria, Petola dan bunga-bungaan juga boleh ditanam menggunakan kaedah ini.

Kaedah ini diperkenalkan untuk mengatasi beberapa masalah dan limitasi yang terdapat dalam projek fertigasi. Kaedah ini menggunakan konsep hidroponik yang mesra alam dan berupaya menghasilkan pengeluaran yang seragam dan berkualiti.

Baja kompos

baja_kompos

Masyarakat Cina, Jepun dan masyarakat Asia yang lain dipercayai telah membuat baja kompos sejak 4,000 tahun yang lalu. Baja Kompos terhasil apabila bahan organik mereput dan terurai kepada bahan yang kaya dengan nutrien yang dipanggil ‘humus’ melalui haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma tanah seperti bakteria, cacing dan kulat.

Bahan yang boleh dijadikan baja kompos amat mudah diperoleh di kawasan sekeliling kita seperti bahan yang kaya dengan nitrogen dan karbon, kulit buah-buahan, sayur-sayuran, daun kering, najis haiwan, sisa makanan dan sebagainya.

Baja kompos mempunyai peranan yang penting bagi tanah, ia berupaya meningkatkan dan mempertahankan kesuburan sifat kimia, fizik dan biologi dalam tanah tersebut. Baja kompos juga dapat memperbaiki struktur dan lapisan tanah.  Walau bagaimanapun, hasil dari pemerhatian, penggunaan baja kompos di dalam bidang pertanian pada masa kini masih lagi pada tahap skala kecil. Ini kerana kerana mereka beranggapan nutrien yang dibekalkan baja kompos tidak setanding dengan baja kimia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...