Segala informasi tentang teknologi pertanian
Archive for June, 2009
Tanaman padi
Jun 23rd

Tanaman padi memerlukan sinaran matahari, suhu dan jumlah hujan (18-40oC dan 1240 mm/tahun) yang cukup dan memerlukan keadaan air bertakung. Oleh itu, tanah-tanah berstruktur halus seperti lempung, lempung berkelodak, lom lempung atau lempung berpasir adalah sesuai.
Terdapat dua jenis padi iaitu padi tradisional (>140 hari peringkat matang) dan padi varieti baru (<135 hari peringkat matang). Dalam tempoh 1972-1998 terdapat 25 varieti padi baru yang telah diperkenalkan untuk penanaman dua kali setahun di Malaysia. Padi varieti baru mempunyai potensi penghasilan yang tinggi tetapi bermasalah daripada segi mutu dan kurang ketahanan terhadap perosak dan penyakit. Manakala varieti padi tradisional pula amat peka terhadap fotokala, bertempoh matang panjang, pokok tinggi serta mudah rebah dan kurang gerakbalas terhadap baja. Walau bagaimanapun, varieti ini mempunyai keistimewaan dari segi citarasanya yang sedap.
Penggunaan biji benih yang berkualiti merupakan satu langkah penting dalam pakej penanaman padi kerana ia dapat menjamin pengeluaran hasil yang tinggi. Disyorkan menggunakan biji benih berkualiti dalam kategori biji benih padi sah kerana telah menepati Malaysian Standard MS 469-1993.
Padi mesti dituai seelok padi masak. Kelewatan menuai boleh menyebabkan kekurangan hasil kerana pokok-pokok padi akan rebah, biji-biji padi lerai dan juga kerosakan oleh musuh-musuh dan penyakit-penyakit. Biasanya padi elok dituai dalam masa 35 hari selepas 50% dari pokok-pokok mengeluarkan tangkai-tangkai padi.
Biasanya padi dituai dengan jentuai (combine harvester). Kemudian biji-biji padi dileraikan dengan cara membanting tangkai-tangkainya ke dalam tong pembanting. Hanya di kawasan yang menanam padi secara kecil-kecilan padi dituai dengan ‘ketam’ padi. Terdapat juga mesin-mesin penuai lengkap yang kecil dan ringan iaitu ‘mini combine’ yang juga boleh menuai, membanting dan membersihkan hasil padi sekaligus.
Maklumat lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/bm/kenal_padi.htm
Pertanian Moden
Jun 19th
Apabila disebut tentang pertanian, sudah tentu ramai yang menyangka perlu bercucuk tanam di tengah panas terik sambil memegang cangkul. Jika anda berfikiran begitu, mungkin anda sudah ketinggalan 20 tahun ke belakang.
Skop pertanian kini sungguh meluas sekali dan semakin popular. Ini terbukti apabila semakin banyak kisah-kisah kejayaan usahawantani yang telah mendapat pulangan lumayan hasil dari bidang usaha ini. Dari hari ke hari semakin ramai individu yang berminat untuk menceburi dan menerokai ke dalam bidang pertanian ini. Banyak peluang-peluang pelaburan yang muncul sejak kerajaan ingin menaikkan bidang pertanian sebagai salah satu enjin menjana ekonomi negara. Ramai yang menyedari keuntungan yang lumayan bakal diperolehi sekiranya melakukannya secara serius.
Namun masih ada segolongan lagi yang masih tercari-cari dan tertanya-tanya apa yang perlu dibuat sekiranya mempunyai tanah yang tidak dimanfaatkan sebelum ini. Ramai yang tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Dengan siapa perlu berjumpa? Siapa pula yang boleh membimbing? Apa perkara pertama yang perlu dilakukan? Bila sudah tahu bidang yang perlu diceburi, modal pula tidak mencukupi. Jadi, terpaksalah buat pinjaman bank. Bukan mudah untuk mendapat pinjaman bank. Banyak kriteria yang perlu anda tahu.
Bagaimana pula dengan Rancangan Perniagaan? Sudah cukup baguskah untuk buat anda berjaya? Bukan mudah nak dapat pinjaman kalau tiada Rancangan Perniagaan yang betul-betul dapat meyakinkan pemberi pinjaman. Bila dah berjaya dapat pinjaman, bagaimana pula nak mulakannya. Hendak menanam mungkin mudah pada yang sudah biasa tetapi bagaimana pula hendak memasarkannya. Jika tiada pemasaran, maka tiadalah keuntungannya. Jadi, sia-sia sahaja pelaburan anda jika anda tidak tahu selok belok bidang pertanian ini. Ia akan menjadi mudah sekiranya anda tahu caranya. Bagi yang mungkin sudah menceburi bidang usahawantani ini tetapi sering menghadapi masalah, anda mungkin tidak tahu ke mana tempat harus dituju. Macam-macam persoalan di dalam minda sebenarnya..
Apa pula yang berada di fikiran anda?
Pemasaran Hasil Pertanian
Jun 4th
Sistem pemasaran merupakan satu aktiviti yang kompleks kerana melibatkan pelbagai lingkungan pemasaran di mana berlakunya pelbagai interaksi di kalangan pengeluar, pemborong dan peruncit. Pemasaran hasil pertanian yang berterusan juga bergantung kepada beberapa perkara bagi menjamin hasil yang dikeluarkan tidak menjadi lambakan dan terus sampai kepada konsumer. Perkara-perkara tersebut adalah seperti jumlah pengeluaran, kemudahan logistik, citarasa pengguna, penyimpanan, penggreddan, kaedah saluran pemasaran dan sebagainya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini isu mengenai lambakan buah-buahan semakin kedengaran terutamanya di kalangan pengeluar buah-buahan tempatan. Buah-buahan yang sering menjadi isu lambakan adalah seperti durian, rambutan, cempedak, rambutan, langsat, duku dan dokong.
Lambakan Mangga sala di Perlis misalnya pernah menjadi satu isu hangat yang diperkatakan suatu ketika dahulu. Kini, durian dan dokong dijangka mengalami lambakan di Kelantan dan Terengganu pada bulan Julai dan Ogos. Ini adalah kerana kebanyakkan buah-buahan ini kurang menjadi pada tahun lalu disebabkan beberapa faktor seperti kerosakan tanaman dan cuaca.
Jadi, pada tahun ini tanaman buah-buahan berkenaan dilihat mengalami pertumbuhan yang baik dan dijangka berlaku peningkatan hasil yang tinggi akan mendorong berlakunya lambakan yang agak banyak. Lambakan yang berterusan akan menjejaskan pendapatan petani yang umumnya bergantung harap dari sumber hasil pertanian ini.
Pemasaran pertanian adalah sesuatu aktiviti yang mencabar kerana ia melibatkan barangan segar yang mudah rosak. Oleh itu, kekuatan sistem pemasaran penting bagi menjamin pembekalan yang berterusan seterusnya mengatasi isu lambakan.
Asas-asas berlakunya isu lambakan
Petani tidak bersikap proaktif
Kebanyakkan petani tidak membuat perancangan yang rapi dan sistematik sebelum mengeluarkan produk masing-masing bagi mengelakkan masalah pemasaran dan lambakan buah. Kebanyakkannya lebih berusaha untuk bercucuk tanam sahaja tanpa memikirkan masalah pemasaran. Usaha pemasaran hanya difikirkan apabila hasil pertanian sudah hendak dituai. Petani tidak terlebih dahulu membuat perancangan mengenai potensi pasaran bagi produk yang akan dikeluarkan. Walaupun pihak kerajaan sentiasa membantu pengeluar tetapi jika usaha sebelah pihak sahaja, maka masalah tersebut tidak dapat diselesaikan. Risiko boleh dikurangkan dengan adanya maklumat tentang harga dan kuantiti yang ditawarkan di pasaran.
Penanaman Pandan
Jun 3rd

Pandan (Pandanus adorus) adalah sejenis tanaman berperdu dan tumbuh tegak ke atas. Daunnya tebal, sedikit lebar, panjang meruncing dan tajam di hujung. Warnanya hijau tua di pangkal dan hijau muda di hujung. Sejenis tumbuhan yang sejuk, daunnya berbau wangi sesuai dijadikan perasa makanan, pewarna dan pewangi. Khasiat daun yang ditumbuk dan diambil airnya boleh dipupur ke rambut dan rambut akan menjadi bersih, lebat dan menyejukkan kepala.
Penyediaan Tanah
Pokok ini boleh membiak melalui akar dan anak pokok. Sediakan lubang berukuran 25 cm x 25 cm x 25 cm. Campurkan tanah bersama 100 gm baja CIRP. Tanam anak sulur pandan ke dalam lubang dan padatkan tanah di permukaan keliling anak pokok.
Sekiranya menanam dalam pasu, gunakan campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir. Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm dari permukaan pasu. Gali lubang sebesar saiz polibeg dan tanam anak sulur ke dalam lubang dan padatkan permukaan keliling pokok.
Siram anak pokok apabila perlu. Cabut dan buang rumpai yang tumbuh keliling pokok. Tabur baja NPK (21:21:21) sebanyak 5 gm/pokok bagi tanaman dalam pasu dan 10 gm/pokok bagi tanaman seperti di sekitar rumah.
Tiada perosak dan penyakit serius menyerang pokok pandan. Daun pandan boleh dipetik selepas 12 bulan ditanam.
Keterangan lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/bm/panduan_pandan.htm
Penanaman Nangka
Jun 2nd
Nangka tergulung dalam keluarga Moraceae. Terdapat 60 genus dan lebih 1000 spesies pokok-pokok dari keluarga ini di kawasan tropika. Nangka memupunyai zat tenaga, air, protin, lemak, karbohidrat, gentian, abu, kalsium, fosforus, besi, beta-karotin, vitamin B1, vitamin B2, vitamin C dan niasin.
Pokok nangka adalah sejenis tumbuhan yang mengandungi getah berwarna putih dan boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter serta mempunyai sistem akar tunjang. Anak pokok nangka mempunyai akar tunjang yang mudah tercedera dan boleh menjejaskan kejayaan penanaman di ladang.
Tiga klon kultivar yang disyorkan:-
J 29
Nangka ini berasal dari Sungai Chua, Kajang, Selangor dan didaftarkan pada 8 Februari 1973. Mempunyai buah yang besar dengan berat 10 kg sebiji dan berbentuk bulat. Kulit berwarna hijau kekuningan dan sederhana tebal. Durinya kasar dan jarang. Ulas besar dan banyak dan bijinya besar. Isinya tebal, pejal, manis, berwarna kuning dan bertekstur halus. Jeraminya kurang tetapi kasar dan manis.
J 31
Digelar dengan N.S.I dan didaftarkan pada 30 Mei 1973. Saiz buah besar dan berat buah 10 kg sebiji dan panjang buah 45-55 cm. Buah berbentuk lurus panjang dan kulitnya berwarna hijau, sederhana tebal, banyak getah dan durinya rapat-rapat. Ulasnya sederhana besar dan berbentuk bulat. Isinya berwarna kuning, sederhana tebal tetapi pejal, rasanya manis, berbau kuat, tekstur isinya halus dan banyak jerami. Bijinya kecil.
J 32
Klon J 32 didaftarkan pada November 1997. Bentuk buah bujur panjang, bahu melekuk dan hujung buah bulat. Saiz sederhana besar, berduri padat dan beraroma sedikit. Warna isi kuning oren, tebal, saiz isi besar keras dan pejal tetapi kurang manis serta sedikit berair.
J 33
Sesuai dimakan segar. Pembiakan melalui cantuman mata tunas
Maklumat lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/bm/panduan_tanamnangka.htm

