Segala informasi tentang teknologi pertanian
Archive for March, 2009
Fertigasi Rock Melon
Mar 28th

Tanaman Fertigasi Rock Melon yang terletak di Besut

Sistem Fertigasi ini telah menggabungkan autopot dan pasu bagi penanaman rock melon ini.

Tanaman Rock Melon yang telah mencapai usia lebih 45 hari.

Buah melon varieti Glamour yang sudah hampir matang
Penanaman Kobis
Mar 24th

Kobis ditanam dengan menggunakan biji benih. Kawasan yang luasnya 0.4 hektar (1 ekar) memerlukan lebih kurang 0.5-0.8 kg. biji benih. Biji benih ini boleh ditabur terus ke atas batas atau disemai dahulu di tapak semaian. Selalunya cara semaian lebih elok dijalankan kerana kita dapat memilih pokok-pokok yang sihat dan subur untuk diubah ke batas tanaman.
Buat tapak semaian yang berukuran 1 m lebar dan 3 m panjang Taburkan biji benih yang telah dirawat dengan racun kulat seperti thiram atau benomyl dengan kadar 3 gm bagi 100 gm biji benih untuk mencegah penyakit melecuh. Gaulkan biji benih ini dengan pasir halus/tanah peroi dan barulah ditabur di tapak semaian. Tutup tapak semaian dengan lalang kering ataupun pelepah kelapa dan siramkan air. Biji benih akan mencambah selepas 3-4 hari ditabur. Buangkan daun penutup tapak semaian supaya tidak mengganggu pertumbuhan seterusnya.

Ubah anak benih apabila telah mempunyai 4-5 helai daun, iaitu kira-kira empat minggu selepas disemai. Sebelum mencabut anak benih, siram tapak semaian secukup-cukupnya. Seelok-eloknya cabut anak benih bersama dengan tanah di sekelilingnya. Ini dapat mengelakkan kerosakan akar dan mempastikan anak benih itu tidak terencat pertumbuhannya selepas diubah ke batas tanaman. Hanya anak-anak benih yang sihat sahaja diubah ke ladang. Ubah semasa cuaca redup atau pada waktu petang hari. Siramkan air setelah mengubah anak benih.
Keterangan lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/kobis.htm
Penanaman Tomato
Mar 23rd

Penyediaan Anak Benih
Gunakan biji benih yang bermutu tinggi. Jumlah biji benih digunakan adalah 300 g/ha. Biji benih dirawat dengan menggunakan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3 g/1000 g biji benih. Biji benih disemai sekurang-kurangnya 6 minggu sebelum menanam dan sediakan 10% lebihan benih untuk aktiviti sulaman, jika perlu. Anak benih ditanam di bawah jaring kalis serangga.
Terdapat tiga cara semaian yang disyorkan iaitu:-
1.Semaian batas
2.Semaian polibeg
3.Semaian kotak
Semaian Batas
Campuran tanah 7:3:2 (tanah:bahan organik:pasir) digunakan bagi batas semaian berukuran 1000 cm lebar, 15 cm tinggi dan mengikut panjang yang dikehendaki. Semai biji benih sedalam 0.5 cm dalam jalur berjarak 5 cm. Kemudian tabur tanah kering yang halus sepanjang jalur untuk menutup biji benih. Siram batas selepas itu dan dirikan teduhan yang dibuat dari plastik lutsinar. Jarangkan anak benih (5 cm antara pokok) 10-14 hari selepas menyemai.

Penyemburan racun perosak hendaklah diberhentikan sebelum mengutip hasil. Hasil boleh dipungut lebih kurang 8-9 minggu selepas mengubah. Buahnya akan masak 30 hari selepas berbunga dan tempoh pengeluaran hasil adalah 30-45 hari selepas kutipan pertama. Buah boleh dipungut bila masih berwarna hijau tetapi telah cukup matang. Pungutan buah yang masih hijau atau hijau kekuningan dibuat untuk mengelakkan buah dri pecah.
Keterangan lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/panduan_tomato.htm
Penanaman Kacang Panjang
Mar 16th

Kacang Panjang sesuai ditanam di kawasan tanah gambut. Bajak tanah dengan kapur (magnesium limestone) dengan kadar 2.5 mt/ha. Gaulkan baja organik (tahi ayam reput) dengan kadar 2 mt./ha. Biji benih ditanam sedalam 3 cm (2-3 biji selubang) dengan jarak 70 cm x 25 cm dan jarak antara batas ialah 1.0 m. Ketinggian pokok antara 45 cm – 60 cm.

Kacang Panjang mula berbunga antara 40 hari atau 5-6 minggu selepas menanam. Kelopak bunga berwarna biru muda dan mengeluarkan kacang antara 25-45 cm panjang dan 0.6-0.8 cm garispusat. Pengutipan hasil dilakukan sehingga 8-10 minggu bermula dari tempoh menanam, bergantung kepada kesuburan pokok dan kesesuaian tanah. Kajian mendapati varieti ini boleh mengeluarkan hasil lebih kurang 130-160 g lenggai / pokok atau 9-111 mt/ha. Anggaran harga di ladang RM1.50/kg. Analisis ekonomi juga menunjukkan Kacang Panjang adalah menguntungkan dan berpotensi luas.
Maklumat lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/panduan_kcgpanjang.htm
Penanaman Mangga
Mar 10th

Untuk memaksimumkan pengeluaran hasil mangga dan juga memperolehi harga pasaran yang baik, penanaman campuran klon mangga adalah disyorkan. Bagi kawasan yang telah ditanam dengan klon tunggal dan menghadapi masalah pembungaan dan pengeluaran buah, campuran klon boleh diperolehi dengan kaedah cantuman dewasa di ladang, di mana pokok asal akan ditebang sehingga tinggal ketinggian lebih kurang 1 meter dari permukaan tanah. Tunas baru akan mula terbit sebulan kemudian. Kerja-kerja mencantum dengan mata tunas boleh dilakukan 5 bulan selepas menebang pokok dan hasil akan diperolehi 2 tahun selepas mencantum.
Penanaman sebaik-baiknya dilakukan pada awal musim hujan. Bagi kawasan tanah yang rata dan landai, sistem segi empat, segi tiga sama dan siku keluang boleh digunakan, manakala di kawasn yang curam pokok ditanam mengikut kontur bagi mengurangkan masalah hakisan tanah. Jarak tanaman ialah 9m x 9m bagi klon yang bersifat tinggi dan besar dan 7.5m x 7.5m bagi klon yang sederhana besar.
Lubang tanaman digali, berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm. Asingkan tanah atas daripada tanah bawah. Gaulkan 10 kg baja organaik dan 200 gm CIRP dengan tanah atas dan masukkan semua ke dalam lubang, diikuti dengan tanah bawah untuk dijadikan busut. Lubang dibiarkan selama 1 bulan. Semasa menanam, lubang digali semula sebesar beg plastik anak mangga yang hendak ditanam. Buangkan plastik sebelum anak benih ditanam. Kayu pancang atau kayu penyokong digunakan supaya anak pokok tidak patah atau tumbang bila ditiup angin. Sungkupan diletak di pangkal pokok bagi mengekalkan kelembapan dan mengawal rumpai. Penyiraman dijalankan setiap hari.
Maklumat lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/panduan_tanammangga.htm
